Schumacher (2021) Terlepas Peluang Keemasan?

Schumacher ialah sebuah filem dokumentari terbitan Netflix yang memaparkan karier lagenda atau GOAT arena sukan permotoran, Michael Schumacher. Filem ini diarah, ditulis, dan diterbit oleh trio Hanns-Bruno Kammertöns, Vanessa Nöcker, dan Michael Wech. Semakan filemografi bagi trio ini secara individual menunjukkan bahawa mereka banyak terlibat dengan filem dokumentari berbahasa Jerman. Namun begitu filem ini secara default di dalam Netflix menggunakan bahasa Inggeris, manakala bahasa Jerman pula boleh dipilih sebagai bahasa alternatif.

Walaupun durasi filem ini adalah sebanyak 1 jam 52 minit, banyak aksi-aksi menarik dalam karier Michael Schumacher yang tidak dikupas dengan mendalam dalam dokumentari ini. Sebagai contoh, perjalanan awal Michael Schumacher bersama Ferrari yang penuh liku hanya dapat disentuh secara permukaan sahaja, walhal 3 tahun awal di mana beliau gagal merebut kejuaraan kesuluruhan sepatutnya sarat dengan momen menarik yang boleh dikupas.

Detik-detik pertembungan epik antara beliau dan seteru utamanya Mika Hakkinen juga tidak dikupas dengan lanjut dalam filem ini. Insiden seperti Grand Prix Barcelona 2001 di mana Mika Hakkinen telah mendominasi keseluruhan perlumbaan, secara tiba-tiba pada lap terakhir perlumbaan enjin nya meletup dan beliau tidak dapat menamatkan perlumbaan. Michael yang ketika itu berada pada tempat ke-2 memintas Mika Hakkinen untuk meraih kemenangan. Sayangnya temubual bersama Mika Hakinen dalam filem ini tidak membincangkan berkenaan insiden menarik seperti ini. Satu lagi contoh filem ini juga tidak mengupas babak di mana rakan sepasukan Michael iaitu Ruben Barichello yang mendominasi seluruh perlumbaan Grand Prix Austria pada tahun 2001, terpaksa akur dengan arahan Jean Todt iaitu boss pasukan Ferrari ketika itu untuk memberi laluan kepada Michael memintas pada lap terakhir perlumbaan, hanya kerana Michael berada dalam posisi yang lebih baik untuk memenangi kejuaraan kesuluruhan.

Detik-detik penting seperti ini sudah tentu menarik jika dapat dikupas di dalam temubual bersama mereka yang terlibat, atau jika dapat ditunjuk beberapa babak sebalik tabir ketika ianya berlaku. Walaupun dokumentari ini mendapat akses ekslusif untuk menemubual watak-watak penting dalam karier Michael seperti Jean Todt, Mika Hakkinen, David Coulthard, dan keluarga Michael sendiri, akses ini seakan-akan tidak disempurnakan secara optimum. Mungkin filem ini akan terasa lebih memuaskan jika durasinya dipanjangkan, kemudian dibahagikan kepada beberapa bahagian, dan diterbitkan sebagai sebuah siri tv mini.

Walaupun begitu, tidak dinafikan kebarangkalian bahawa keputusan untuk mengurangkan durasi dokumentari ini adalah disengajakan. Sebagai sebuah filem dokumentari, filem ini disusun dan disunting dengan baik. Boleh jadi juga filem ini diterbitkan sebagai pengenalan kepada karier Michael Schumacher ataupun kepada sukan permotoran itu sendiri, bukan cubaan untuk membuat sebuah dokumentari yang lengkap. Cuma dengan akses ekslusif yang dimiliki seperti temubual esklusif dan klip-klip video sebalik tabir, agak sukar untuk tidak merasakan pembikin filem ini terlepas peluang untuk melaksanakan dokumentari yang lebih lengkap dan memuaskan.

Antara yang paling menarik yang ditunjukkan di dalam filem ini adalah sisi kompetetif dan agresif Michael, kontra dengan optik beliau yang dilihat sebagai budak baik dan sosok role model. Filem ini memaparkan beberapa babak di sebalik tabir di mana Michael berada di dalam suasana tegang bersama pelumba lain. Apa yang boleh dilihat adalah walaupun gaya perlumbaannya agresif, Michael sejak muda tidak takut untuk menghadapi konfrontasi biarpun dengan nama besar seperti Ayrton Senna. Sudut personaliti Michael ini juga ditunjukkan melalui beberapa babak tegang bersama pelumba lain seperti Mika Hakinnen dan David Coulthard.

Isu-isu sensitif seperti kemalangan Michael semasa bercuti di resort ski tidak banyak diterokai dalam filem ini. Tiada berita baru mengenai keadaan Michael terkini melainkan apa yang pernah diliputi oleh media sebelum ini. Namun begitu tidak kurang menariknya, filem ini memaparkan temubual ekslusif bersama keluarga Michael, isterinya Corrina, anak perempuannya Gina, dan juga anak lelakinya Mick Schumacher. Mick Schumcher juga ialah anak Michael dan Corrina yang mengikuti jejak langkah Michael menjadi pelumba Formula Satu dan kini mewakili pasukan Haas-Ferrari (jangan dikelirukan dengan Scuderia Ferrari, iaitu pasukan tradisi Ferrari yang diwakili Michael). Babak paling menyentuh hati adalah apabila Mick memberitahu bahawa dia sanggup bertukar segala apa yang dimilikinya kini, hanya untuk dapat berbual, berbincang, dan mendapatkan nasihat Michael bukan sahaja sebagai lagenda dan ikon sukan itu, tetapi juga sebagai seorang ayah. Buat mereka yang tertanya-tanya khabar Michael terkini, mungkin ini boleh memberi sedikit sebanyak gambaran keadaan Michael kini walaupun tidak diberitahu secara spesifik.

Rating: 7/10

Leave a comment